Follow Us on Facebook

- Kami memohon maaf atas kelewatan kemaskini atau update.
- Selamat Berpuasa.
- Have Fun! :DD

Klik sekali iklan di atas tanda anda memberi sokongan kepada kami :D

Rozita mahu saman penyebar fitnah

Bukan sekali tetapi tiga kali dia terpaksa berhadapan dengan gosip yang sama - kononnya bakal menjadi isteri kedua seorang ahli perniagaan yang juga merupakan suami kepada penyanyi terkenal tempatan.

Tidak dinafikan gosip-gosip liar itu telah menimbulkan kemarahan yang bukan sedikit buat dirinya.

Amat terkilan dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu, pelakon popular, Rozita Che Wan memberitahu, gosip itu bukan sahaja menyinggung perasaannya tetapi juga mereka yang dikaitkan.

Justeru pelakon ‘bergetah’ berusia 39 tahun itu berhasrat mengemukakan saman kepada penyebar fitnah terbabit.

Tegas ibu tunggal kepada dua anak itu, adalah tidak adil buat dirinya dan mereka yang terpalit sama dengan kontroversi terbabit memandangkan ia tidak pernah berlaku sama sekali.

Malah Rozita sendiri mengakui amat terkejut dengan penyebaran berita terbaru yang mengatakan dia bakal menjadi isteri kepada Datuk Khalid Mohd Jiwa (Datuk K) iaitu suami kepada penyanyi terkenal tanah air, Datuk Siti Nurhaliza.

Sebelum ini, berita yang sama turut diperkatakan khalayak.

“Gosip ini tersebar dalam tempoh dua tahun ini. Dan kali ini berita itu disebarkan pula melalui penulis blog. Saya sendiri terkejut dengan penyebaran fitnah tersebut.

“Saya tidak nafikan perkara ini agak menganggu kerana ia bukan sahaja membabitkan diri saya tetapi juga beberapa pihak yang dikaitkan.

“Oleh itu saya berhasrat untuk menyaman mereka mereka yang tidak bertanggungjawab dengan penyebaran fitnah ini,” katanya ketika ditemui ketika menghadiri majlis pernikahan Azza Elite di Masjid Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang, Selangor, Ahad lepas.

Menurut Rozita, tindakannya untuk mengemukakan saman adalah untuk memberi pengajaran kepada pihak terbabit agar tidak sewenang-wenangnya mencetuskan kontroversi kurang berasas terhadap dirinya.

“Saya langsung tidak pernah bertemu dengan Datuk K, jadi saya juga hairan mengapa tiba-tiba sahaja dikaitkan akan berkahwin dengannya.

“Seharusnya mereka tahu untuk menghormati perasaan orang lain memandangkan tohmahan ini juga berkait dengan keluarga pihak yang terbabit,” katanya.

Malah Rozita turut bersetuju dengan kenyataan Siti Nurhaliza yang dikeluarkan di akhbar baru-baru ini agar laman blog portal hiburan lebih sensitif dengan setiap berita yang dilaporkan.

Bagaimanapun ketika ditanya apakah dia akan mengambil keputusan untuk menamatkan zaman solonya demi meredakan kontroversi yang melanda diri, pelakon itu serius menyatakan pendirian.

Katanya, perkahwinan bukan jalan penyelesaian yang mampu membantunya keluar daripada kemelut kontroversi seperti ini.

Leave a Reply