Follow Us on Facebook

- Kami memohon maaf atas kelewatan kemaskini atau update.
- Selamat Berpuasa.
- Have Fun! :DD

Klik sekali iklan di atas tanda anda memberi sokongan kepada kami :D

Kerjaya guru lebih mencabar kata Lisa Surihani

Pelakon Lisa Surihani mengakui bahawa kerjaya sebagai guru pada masa kini berdepan dengan cabaran berganda jika dibandingkan dengan pengalamannya yang pernah menjadi seorang guru sandaran, sembilan tahun lepas.

Beliau dan suaminya, penyanyi dan pengarah filem Yusry Abdul Halim merupakan antara selebriti yang dipilih untuk menjayakan program 'Teach For Malaysia (TFM) Week' di mana mereka memainkan peranan sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendamaran Jaya di sini hari ini.

Lisa berkata pengalamannya mengajar di sekolah itu membuatkan beliau lebih menghormati profesion guru.

"Pengalaman saya hari ini memang jelas membuktikan bahawa bukan senang untuk jadi seorang guru. Cabarannya bertambah mengikut peredaran masa terutamanya dari aspek menarik perhatian dan tumpuan pelajar.

"Saya mengalu-alukan rakyat Malaysia menyokong dan mengambil bahagian dalam program TFM ini," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Lisa dan Yusry masing-masing meluangkan masa selama sejam mengajar di dua buah kelas tingkatan satu di mana Lisa mengajar subjek Geografi manakala Yusry mengajar subjek Bahasa Inggeris.

Selain kedua-dua artis itu, mereka yang mengambil bahagian dalam program anjuran TFM yang bermula hari ini sehingga 20 April ini mewakili sektor perniagaan, kewangan, perkhidmatan awam, pendidikan dan hiburan.

Mereka dijadualkan mengajar di sekolah kawasan Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, Petaling Perdana dan Hulu Langat di Selangor; Sentul dan Keramat di Kuala Lumpur; dan Tampin, Jelebu serta Kuala Pilah di Negeri Sembilan.

TFM adalah sebuah badan bebas bukan mencari keuntungan yang menyenaraikan bakal pemimpin masa depan Malaysia paling menyerlah dalam misinya untuk menghapuskan keadaan tidak saksama dalam bidang pendidikan.

Sejak Januari 2012, kohort pertamanya yang terdiri daripada 50 felo, menjadi pengajar di sekolah berkeperluan tinggi di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. TFM sedang mencari 70 lagi felo untuk kohort barunya bagi 2013.

Leave a Reply